Sabtu, 19 Januari 2019 | 2:39pm
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur, Asistan Komisioner Zulkefly Yahya. - Foto Nik Hariff Hassan

6 pelumba 'litar' DUKE kantoi

KUALA LUMPUR: Enam penunggang motosikal remaja yang menjadikan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE) sebagai litar lumba haram dan melakukan aksi berbahaya diberkas dalam Operasi Khas Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Mereka yang berusia antara 14 hingga 19 tahun ditahan selepas dikesan melakukan aksi ‘superman’ iaitu menunggang dalam keadaan kedua belah kaki diangkat ke belakang sambil berbaring atas motosikal serta melakukan ‘zig-zag’ di atas lebuh raya.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata selain melakukan aksi merbahaya termasuk mengangkat tayar hadapan motosikal, semua remaja terbabit turut berlumba sesama mereka dengan kelajuan yang tinggi.

“Pihak kami menjalankan pemantauan di lebuh raya berkenaan seawal jam 1.30 pagi hingga 4.30 pagi dan enam penunggang motosikal ini dikesan berulang kali masuk dan keluar lebuh raya ini dengan tujuan melakukan aksi merbahaya dan berlumba.

“Empat daripada penunggang itu tidak mempunyai lesen motosikal.

“Antara kesalahan lain ialah ubah suai motosikal termasuk enjin dan ekzos untuk menambah kelajuan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Dalam operasi berasingan di Jalan Genting Klang, Setapak, sekitar waktu sama, Zulkefly berkata seorang remaja lelaki yang menunggang motosikal curi mencuba meloloskan diri daripada ditahan polis.

“Usaha remaja berusia 17 tahun itu bagaimanapun tidak berjaya.

“Kita juga ada menahan seorang lagi remaja lelaki kerana menunggang motosikalnya dalam keadaan mabuk.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 217 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen motosikal, cukai jalan tamat tempoh dan ubah suai kenderaan,” katanya.

465 dibaca
Berita Harian X