Sabtu, 19 Januari 2019 | 12:26pm
KEADAAN kereta Proton Saga yang ditinggalkan di laluan kecemasan di Kilometer 32 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), malam tadi. - Foto ihsan pembaca

Pelajar matrikulasi maut digilis kereta

JITRA: Seorang pelajar matrikulasi maut apabila motosikal ditungganginya terbabas sebelum mangsa terjatuh dan digilis kenderaan di Kilometer 32 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), dekat sini, malam tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 8.40 malam, Syazwan Mohd Sharifudin, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah selepas dilanggar dan terseret hingga kira-kira 10 meter (m).

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa yang menunggang sendirian dari arah Jitra menghala ke Kepala Batas, terlanggar bahagian belakang sebuah kereta Proton Saga yang rosak di laluan kecemasan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata mangsa kemudian terbabas ke laluan tengah lebuh raya sebelum dirempuh sebuah kereta Toyota Vios dari arah belakang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Saga terbabit ditinggalkan di laluan kecemasan sejak pagi semalam kerana mengalami kerosakan dan kakitangan PLUS sudah meletakkan 10 kon amaran di belakang kenderaan itu.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal berkenaan dikatakan terlanggar bahagian bucu kanan kereta itu lalu hilang kawalan sehingga masuk ke laluan tengah lebuh raya.

“Susulan itu, sebuah kereta Toyota Vios dipandu seorang wanita melanggar dan mengheret mangsa hingga jarak kira-kira 10m menyebabkan penunggang terbabit cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Ismail berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik, Hospital Jitra, untuk bedah siasat dan keluarganya di Taman Suasana Permai sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, pemandu Toyota Vios berusia 29 tahun itu sudah dipanggil memberi keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

1523 dibaca
Berita Harian X