Khamis, 17 Januari 2019 | 12:13pm
Tiga beranak maut apabila kereta Perodua Viva yang dinaikinya bertembung sebuah lori di Kilometer 63, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di Gua Musang, hari ini. - NSTP/Ramli Ibrahim
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa kemalangan di Kilometer 63, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Kampung Sungai Lakit pagi tadi. - NSTP/Ramli Ibrahim

Tiga beranak maut kemalangan di Gua Musang

GUA MUSANG: Tiga beranak maut apabila kereta Perodua Viva yang dinaikinya bertembung sebuah lori di Kilometer 63, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, hari ini.

Pemandu kereta, Siti Rasyidah, 21, bersama ibu bapanya, Aidrus Ibrahim, 72,dan ibunya, Gayah Che Hassan, 65, maut di tempat kejadian pada jam 8.40 pagi.

Pemandu lori bersama dua kelindannya mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk menerima rawatan dan keadaan mereka stabil.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin, berkata kejadian berhampiran Kampung Sungai Lakit itu, berlaku ketika tiga beranak berkenaan dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai.

Beliau berkata, ketika sampai ke lokasi di kawasan selekoh, kereta dipandu Siti Rasyidah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung lori.

Katanya, tiga beranak itu tersepit di dalam kereta yang separuh remuk sebelum berjaya dibawa keluar oleh anggota bomba dalam masa setengah jam.

“Ketiga-tiga mereka yang beralamat di Kampung Awah, Paloh Rawa, Machang, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Taufi berkata, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Sek 41(1) APJ 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Penguasa Bomba, Anuar Abas, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.47 pagi.

Beliau berkata, tiga jentera bersama 11 anggota yang diketuainya bergegas ke lokasi dan mendapati ketiga-tiga mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing.

“Kita mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mayat tiga beranak itu termasuk yang terakhir pemandu, Siti Rasyidah,” katanya.

2335 dibaca
Berita Harian X