Rabu, 16 Januari 2019 | 2:04pm
Anggota bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pesisiran pantai Simpang Mengayau, Kudat. - Ihsan Bomba
Anggota bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pesisiran pantai Simpang Mengayau, Kudat. - Ihsan Bomba

Lelaki hilang, bot dipercayai karam

KUDAT: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bot dinaikinya dipercayai karam di perairan Pulau Kalampunian, di sini, semalam.

Kehilangan Liew Fui Hyung, 49, dilaporkan oleh ahli keluarganya kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dia gagal dihubungi, manakala bot yang dinaikinya tidak ditemui.

Difahamkan, mangsa keluar ke laut sendirian untuk memancing.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kudat, Ishak Jabas, berkata sebaik menerima panggilan daripada Maritim Malaysia Daerah Kudat, pihaknya menghantar empat anggota ke sekitar lokasi dia dilaporkan hilang.

“Pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pesisiran pantai Simpang Mengayau, namun terpaksa ditangguhkan pada jam 6.23 petang semalam berikutan cuaca mulai gelap dan keadaan laut bergelora.

“Hari ini kita menyambung semula operasi SAR mulai jam 6.30 pagi dan belum menemui sebarang petanda lokasi mangsa,” katanya dihubungi pagi tadi.

152 dibaca
Berita Harian X