Selasa, 15 Januari 2019 | 5:41pm
AHLI Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (kiri) ditahan SPRM berhubung kes rasuah dan penggubahan wang haram. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Abdul Azeez, abang ditahan SPRM

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya, Datuk Abdul Latif ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang ini berhubung kes rasuah dan penggubahan wang haram.

Kedua-dua mereka ditahan kira-kira jam 4.30 petang tadi selepas hadir memberi keterangan berhubung kes berkenaan di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya sudah mendapat izin daripada Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa kedua-dua mereka.

"Susulan itu, kedua-duanya akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok jam 9 pagi mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya.

Terdahulu, Abdul Azeez dan Abdul Latif tiba di Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 2.55 petang untuk dirakam keterangan.

Abdul Azeez yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dilihat tiba dengan menaiki kereta jenis Proton Perdana.

Sebelum ini, Abdul Azeez pernah dipanggil memberi keterangan oleh SPRM berhubung siasatan kes tender projek kerajaan.

Pada 15 September lalu, SPRM menahan Abdul Azeez dan abangnya serta seorang pengarah syarikat berhubung dakwaan penerimaan rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi satu projek Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

Berita Harian X