Ahad, 13 Januari 2019 | 5:57pm
JENAZAH Muhammad Saifuddin tiba di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang. - NSTP/Mikail Ong

Rentung dalam kabin: Suasana hiba sebaik jenazah tiba di Jabatan Forensik

GEORGETOWN: Suasana hiba menyelubungi perkarangan Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), sejurus jenazah Muhammad Saifuddin Ali Subahan, 8, yang rentung dalam kejadian kebakaran kabin di Kampung Jawa, di sini, tiba bersama anggota polis.

Perkarangan Jabatan Forensik HPP juga dipenuhi lebih 50 anggota keluarga Allahyarham Muhammad Saifuddin, yang sudah menunggu sebaik dikhabarkan dengan tragedi berkenaan.

Bapanya, Subahan Senni Santar Abdullah,37, yang tiba bersama jenazah turut dilihat sebak dan sentiasa dipujuk ahli keluarga dan sahabat.

Difahamkan, ibu mangsa baru 30 hari melahirkan bayi dan sudah mengetahui mengenai kematian anak ketiga daripada empat adik beradik itu daripada jiran dan ahli keluarganya.

Dalam kejadian jam 12.10 tengahari tadi, Muhammad Saifuddin ditemui rentung dalam sebuah kabin yang terbakar di Kampung Jawa, Bayan Lepas di sini.

Mangsa yang melecur 100 peratus itu dipercayai terperangkap dalam kabin yang menjadi tempat permainannya bersama rakan-rakan.

Bapa saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, Muhammad Saifuddin adalah kanak-kanak yang ceria, selain amat manja dengan bapanya.

“Arwah adalah anak yang baik dan manja. Kehilangannya pasti dirindui seisi keluarga,” katanya sebak.

Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak di sini, malam ini.

1203 dibaca
Berita Harian X