Ahad, 13 Januari 2019 | 1:42pm
JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman berjaya merampas dadah jenis syabu dalam sebuah lori kontena dalam satu operasi di Hentian Taiping, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara. - ihsan media sosial

Lori kontena muatan syabu dirampas

IPOH: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas dadah jenis syabu dianggarkan berat ratusan kilogram dalam sebuah lori kontena pada operasi di Hentian Taiping, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat sini, semalam.

Kenderaan berat itu ditahan melalui sekatan jalan di hentian berkenaan dengan bantuan pasukan polis Peronda Lebuh Raya (EMPV) kira-kira jam 4 petang.

Menurut sumber, lori kontena itu dalam perjalanan menuju utara dan diekori sepasukan polis dari JSJN Bukit Aman susulan dipercayai membawa muatan dadah jenis syabu.

“Kira-kira jam 3.40 petang, Unit EMPV Zon Utara diminta bantuan untuk menahan sebuah lori kontena dan seterusnya membuat penutupan jalan di Kilometer 212, Hentian Taiping arah utara.

“Sebaik lori kontena itu berjaya ditahan, sepasukan pegawai dan anggota JSJN Bukit Aman kemudian melakukan penggeledahan dalam kontena berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, hasil pemeriksaan polis menemui beberapa kotak di dalam kontena itu yang didapati mengandungi dadah dipercayai syabu yang dianggarkan seberat 500 kilogram.

“Lori kontena itu kemudian diiringi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abdul Rahman, ketika dihubungi mengesahkan mengenai kes berkenaan namun memaklumkan maklumat lanjut dan sidang media berhubung rampasan itu akan dibuat oleh pihak Bukit Aman.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh ketika dihubungi pula memaklumkan satu sidang media mengenai kejayaan rampasan dadah itu akan dibuat di Bukit Aman esok.

3953 dibaca
Berita Harian X