Ahad, 13 Januari 2019 | 1:17pm
MOHAMAD Fuzi (kiri) bersama Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy bertukar nota kerjasama antara JKDM dengan PDRM sempena Mesyuarat peringkat tertinggi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Resort World Awana, Genting Highlands. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

PDRM, INTERPOL masih aktif kesan Jho Low

GENTING HIGHLANDS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih aktif berhubung dengan Polis Antarabangsa (INTERPOL) bagi memburu ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya juga mengadakan beberapa sesi perjumpaan bersama pihak berkuasa China bagi mengesan lokasi terkini Jho Low.

“Kita masih berhubung dengan INTERPOL. Ada juga bermesyuarat dengan pihak berkuasa China (membincangkan isu berbangkit),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penutup Mesyuarat Peringkat Tertinggi PDRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Kali Ke-4, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T Subromaniam.

Ditanya mengenai dakwaan kapal pasukan keselamatan negara ini memasuki perairan Singapura, Mohamad Fuzi enggan mengulas lanjut dan menyifatkan segala persoalan sudah terjawab selepas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian mengeluarkan kenyataan berhubung isu terbabit.

“Isu ini timbul tiga hari lalu. Menteri Besar Johor juga sudah nafikan dakwaan itu,” katanya.

Semalam, Kerajaan Johor menafikan dakwaan laporan sebuah portal berita Singapura yang mendakwa lima kapal pasukan keselamatan negara memasuki perairan republik itu, Rabu lalu.

Osman dilaporkan berkata beliau yakin rombongannya ketika mengadakan lawatan itu masih berada di perairan negara dan tidak melepasi sempadan kerana pasukan yang bertugas untuk mengendalikan kapal itu adalah daripada mereka yang arif tentang persempadanan perairan.

Katanya, agenda lawatan itu diadakan bukan berniat untuk melakukan provokasi ke atas negara jiran, namun apa yang dilakukan adalah untuk melawat pasukan bertugas, selain meninjau proses menghantar bekalan makanan kepada pasukan keselamatan yang bertugas yang dilakukan setiap dua minggu sekali.

191 dibaca
Berita Harian X