Sabtu, 12 Januari 2019 | 9:56pm

Penyelia ditemui maut dengan 14 kesan tikaman

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki ditemui maut dalam keadaan ngeri dengan 14 kesan tikaman dibadannya termasuk pisau yang dibiarkan tercacak di bahagian perut, dalam satu kejadian di Taman Pulasan di sini, jam 3.10 petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai R Manogaran, 55, ditemui rakannya dalam keadaan terlentang di bilik utama unit tingkat bawah flat di situ.

Difahamkan, pembunuhan kejam itu berpunca daripada masalah pembayaran gaji kepada pekerja warga asing yang diselianya di situ.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata pihaknya pada mulanya menerima panggilan daripada seorang penduduk di situ memaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa.

Beliau berkata, mangsa rakyat tempatan berkenaan merupakan pembekal pekerja asing warga Myanmar kepada beberapa buah kilang di kawasan Bukit Tengah.

“Mangsa yang beralamat di Subang Selangor itu tidak berkahwin dan tinggal bersama dengan lebih kurang 10 orang pekerja warga Myanmar di rumah yang juga lokasi kejadian.

“Rakan mangsa berkata, sebelum kejadian pada jam 10 pagi, selepas menghantar pekerja-pekerja ke kilang, mangsa memberitahunya bahawa dia mahu pulang ke rumah.

“Pada jam 2 petang rakan mangsa menerima panggilan dari pihak kilang memberitahu mangsa tidak menghantar makanan kepada pekerja-pekerja menyebabkan pekerja tidak mahu menyambung kerja.


Anggota polis membawa mayat seorang lelaki yang ditemui maut dengan kesan tikaman di rumahnya, Taman Pulasan, Bukit Mertajam. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

“Rakan mangsa kemudian terus datang ke tempat kejadian dan masuk ke rumah yang tidak berkunci,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian melihat kesan darah di bahagian ruang tamu dan mendapati pintu bilik utama rumah yang juga bilik mangsa berkunci.

Nik Ros Azhan berkata, rakannya kemudian menyuruh seorang pekerja Myanmar yang tinggal berdekatan memanjat masuk ke bilik mangsa melalui tingkap bilik air dan sebaik pintu itu dibuka, dia melihat mangsa tidak bernyawa dengan berlumuran darah.

Katanya, rakan mangsa kemudian meminta seorang wanita yang juga penjaga kedai berdekatan menghubungi polis.

Nik Ros Azhan berkata, ketika pemeriksaan dilakukan di lokasi kejadian polis menemui mayat mangsa dalam keadaan terlentang di ruang bilik utama memakai baju T dan berseluar panjang hitam.

“Sebilah pisau berhulu kayu juga ditemui tercacak di bahagian tengah perut.

“Pemeriksaan awal oleh pasukan Forensik juga menemui 13 kesan tikaman di bahagian hadapan dan rusuk serta satu tikaman di bahagian belakang,” katanya.

Menurutnya, polis juga menemui satu pahat berhulu besi di sinki bilik air utama tempat mayat mangsa ditemui.

Katanya, beberapa orang pekerja mangsa juga sedang dikenalpasti dan akan diambil keterangan bagi siasatan lanjut.

2470 dibaca
Anggota polis forensik menjalankan siasatan di tempat kejadian. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
Anggota polis forensik membawa bahan bukti selepas menjalankan siasatan di tempat kejadian. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
Berita Harian X