Sabtu, 12 Januari 2019 | 3:56pm
GAMBAR lelaki bersiar-siar tanpa pakaian di Jalan Bundusan yang tular di laman sosial. - Foto ihsan pembaca

Lelaki berjalan bogel kurang siuman - polis

PENAMPANG: Polis mengandaikan lelaki ‘bersiar-siar’ tanpa pakaian di Jalan Bundusan, dekat sini, sehingga gambarnya tular di laman sosial, Khamis lalu, ada masalah mental.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, menegaskan sehingga hari ini polis tidak menerima sebarang laporan berhubung lelaki itu.

“Memang kita tidak terima laporan, kalau ada memang kita ambil tindakan. Tiada mana-mana pihak yang ambil perhatian mahu membuat laporan terhadap lelaki itu.

“Setakat ini, saya tiada maklumat mahu dikongsikan kerana risau maklumat tidak betul. Kalau ada laporan, senang. Jadi, kita anggap lelaki itu mungkin ada masalah mental. Kita buat penilaian begitu kerana orang yang normal tidak akan berbogel di situ,” katanya ketika ditemui NSTP, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman ketika diminta mengulas satu lagi gambar yang tular membabitkan pasangan lelaki dan wanita tidak berpakaian mandi di kolam air pancut di Jalan Gaya, baru-baru ini berkata, perkara itu dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengenal pasti maklumat berhubung gambar itu.

“Tiada maklumat lagi sebab saya tidak tahu sama ada kejadian itu baru atau lama dan ia hanya diketahui di laman sosial.

“Tetapi kita sedang dapatkan keterangan lanjut daripada SKMM dan setakat ini belum dapat dikenal pasti siapa individu itu,” katanya.

Sebelum ini, Sabah dikejutkan dengan dua gambar yang mengaibkan dan tular di laman sosial termasuk kumpulan WhatsApp dan Facebook sehingga mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.

467 dibaca
Berita Harian X