Sabtu, 12 Januari 2019 | 2:47pm
ANTARA suspek yang ditahan dalam operasi Ops Sarang berkaitan dadah di kawasan Tanjung Aru, Kota Kinabalu, pagi tadi. - Foto Khairull Azry Bidin

36 diperiksa dalam Ops Sarang, 12 ditahan

KOTA KINABALU: Seramai 12 orang termasuk seorang perempuan ditahan dalam operasi Ops Sarang berkaitan dadah di kawasan Tanjung Aru, dekat sini, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman, berkata daripada jumlah itu, sembilan positif dadah dengan semuanya lelaki.

Katanya, tiga lagi yang ditahan dalam operasi lebih dua jam yang bermula jam 8.30 pagi itu termasuk seorang perempuan kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Polis memeriksa seramai 36 orang dalam operasi yang berakhir kira-kira jam 11 pagi, dengan 35 daripadanya adalah lelaki dan seorang perempuan. Semuanya berusia antara 13 tahun hingga 43 tahun.

“Daripada sembilan lelaki yang ditahan kerana positif dadah dalam ujian saringan awal, seorang daripadanya juga disyaki terbabit dalam kegiatan judi dalam talian.

“Tiada rampasan dadah dilakukan, bagaimanapun, kita turut merampas beberapa peralatan yang digunakan dalam kegiatan judi dalam talian termasuk dua telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM1,200.20,” katanya pada sidang media di Balai Polis Tanjung Aru, di sini, hari ini.

Seramai 29 termasuk empat pegawai dan 25 anggota terbabit dalam operasi Ops Sarang berkaitan narkotik di kawasan Tanjung Aru itu.

Sembilan daripada 12 yang ditahan, disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 9, Akta Rumah Judi Terbuka 1953 manakala tiga lagi mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Mengulas lanjut, George berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu akan terus melaksanakan operasi seperti itu di lokasi berasingan pada setiap minggu.

“Kita berharap masyarakat akan terus bekerjasama menyalurkan maklumat dan sentiasa membantu polis dalam membanteras masalah dadah di daerah ini,” katanya.

192 dibaca
Berita Harian X