Sabtu, 12 Januari 2019 | 1:33pm
Keadaan motorsikal pegawai bomba bantuan yang maut dalam kemalangan di Jalan Bandar Penawar - Pungai, Kota Tinggi, malam tadi. - Foto ihsan Bomba Johor

Pegawai bomba bantuan maut nahas

KOTA TINGGI: Seorang pegawai bomba bantuan maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabit kemalangan di Jalan Bandar Penawar-Pungai, di sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail, berkata Mohd Syafiq Md Yunos, 20-an, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) pada jam 2.15 pagi tadi, ketika menerima rawatan kecemasan akibat patah kaki dan putus pergelangan tangan.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, arwah Mohd Syafiq yang bertugas di BBP Bandar Penawar dalam perjalanan pulang sejurus selesai bertugas apabila motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta.

“Sepasukan lima anggota dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kira-kira jam 9 malam.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke HSI dengan ambulans untuk rawatan kecemasan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

234 dibaca
Berita Harian X