Sabtu, 12 Januari 2019 | 11:07am
MAHKAMAH Majistret, Putrajaya membebaskan seorang bekas pengerusi agensi kerajaan bergelar Datuk dan seorang Pegawai Eksekutif sebuah syarikat swasta yang direman empat hari bagi membantu siasatan salah guna kuasa membabitkan kontrak kerajaan bernilai lebih RM99 juta. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Kontrak RM99 juta: Datuk, wanita dibebas dengan jaminan SPRM

PUTRAJAYA: Mahkamah Majistret membebaskan seorang bekas pengerusi agensi kerajaan bergelar Datuk selepas direman empat hari bagi membantu siasatan salah guna kuasa membabitkan kontrak kerajaan bernilai lebih RM99 juta.

Turut dibebaskan, seorang wanita iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat swasta yang direman empat hari sebelum ini bagi membantu siasatan berkaitan kes sama.

Majistret Atikah Abu Hassan membebaskan mereka dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di Mahkamah Majistret di sini pada jam 9 pagi diiringi pegawai SPRM.

Selasa lalu, SPRM menahan bekas pengerusi agensi kerajaan berusia 64 tahun itu kira-kira jam 5.50 petang dan CEO wanita berusia 32 tahun itu kira-kira jam 5.20 petang di ibu pejabat SPRM di sini selepas mereka hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, bekas pengerusi agensi kerajaan itu disyaki menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai pengerusi, dalam mencadangkan sebuah syarikat secara lantikan terus dalam projek Kempen Pengiklanan Digital bagi pasaran China untuk tempoh 2018 hingga 2020 yang dianggarkan berjumlah lebih RM99 juta dengan menggunakan peruntukan agensi kerajaan berkenaan.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan pegawai badan awam.

442 dibaca
Berita Harian X