Sabtu, 12 Januari 2019 | 8:52am
Mayat Muhamad Afiq Redzuan Tajudin, 17, yang maut dalam kemalangan dengan sebuah treler di hadapan sebuah kilang beras di Batu 18 Jalan Padang Perahu selepas motosikal yang ditunggangi bersama rakannya hilang kawalan dan merempuh bahagian sisi treler. - Foto ihsan Pembaca

Pelajar maut motosikal rempuh treler

JITRA: Pelajar maut selepas motosikal yang dinaiki bersama rakannya melanggar bahagian sisi kiri sebuah treler di depan kilang beras di Batu 18 Jalan Padang Perahu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, pelajar terbabit, Muhammad Afiq Redzuan Tajudin, 17, yang membonceng motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah.

Rakannya yang menunggang motosikal itu, Muhammad Asyraf Affendi Muhamad Rosmani, 18, masih dirawat di Hospital Jitra (HJ).

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila kedua-dua kenderaan terbabit datang dari arah sama dan ketika itu treler terbabit dikatakan hendak memasuki ke kilang beras itu.

Beliau berkata, treler itu dipercayai mengambil lajak ke sebelah kanan jalan sebelum membelok ke kiri untuk memasuki pintu kilang kerana ketika itu sebuah kereta yang tidak pasti memberhentikan kenderaan dan memberi laluan kepada treler itu untuk masuk ke dalam kilang.


Keadaan motosikal yang ditunggangi Muhammad Afiq Redzuan Tajudin, 17, yang maut manakala rakannya cedera parah selepas melanggar bahagian sisi sebuah treler di hadapan sebuah kilang beras di Batu 18 Jalan Padang Perahu. - Foto ihsan Pembaca

“Bagaimanapun ketika itu motosikal yang dinaiki dua mangsa itu yang dari arah belakang cuba mengelak kereta berkenaan lalu melanggar bahagian sisi kiri kepala treler terbabit.

“Ketika itu, treler itu sudah berada di garisan pintu pagar kilang dan penunggang motosikal itu dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan manakala pemboncengnya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Ismail berkata, pemandu treler berusia 49 tahun itu kemudian diminta ke balai untuk siasatan lanjut manakala mayat mangsa kemudian dibawa Unit Forensik HJ untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, penunggang dan pembonceng motosikal terbabit menetap di Taman Seri Kenangan di Kuala Nerang manakala pemandu lori itu berasal dari Air Hitam, di sini.

“Kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

1422 dibaca
Berita Harian X