Jumaat, 11 Januari 2019 | 11:01pm
Anggota bomba cuba memberi bantuan kepada Nur Aifaa Diyana di air terjun Belukar Bukit. - Ihsan Bomba

Abang lemas nak selamatkan adik

HULU TERENGGANU: Hasrat seorang abang menyelamatkan adiknya tidak kesampaian selepas dia lemas ketika mandi di kawasan perkelahan air terjun Belukar Bukit, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang, Mohamad Aisar Hisham Mohd Kamal, 22, yang berasal dari Bukit Saujana Johor Baharu dikatakan cuba menyelamatkan adik perempuannya, Nur Aifaa Diyana, 21, daripada lemas.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Zuraidi Mohd Yusof, berkata pihaknya menerima panggilan lemas terbabit kira-kira jam 6 petang.

Menurutnya, seramai lapan anggota Bomba bergegas ke lokasi kejadian dan segera menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Ketika kejadian, adik perempuan mangsa yang sedang berenang dikatakan lemas sebelum mangsa terjun untuk menyelamatkan adiknya itu.

“Mungkin disebabkan keletihan mangsa akhirnya lemas dan tenggelam ke dasar,” katanya.

Katanya, adik mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan orang awam yang menyaksikan kejadian itu.

“Adik mangsa diselamatkan tetapi pengsan dan pihak kami sedaya upaya membuat bantuan pernafasan kecemasan (CPR) untuk menyedarkan mangsa.

“Selama 20 minit pencarian, pihak kami dengan dibantu penduduk kampung akhirnya berjaya menemui jenazah mangsa,” katanya.

Zuraidi berkata, mayat mangsa ditemui di dasar sungai kira-kira 20 meter dari tempat dia dilaporkan lemas.

”Jenazah mangsa yang merupakan bekas pelajar Akademi Binaan Malaysia Johor Baharu diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Bilik Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.

“Manakala adik mangsa turut menerima rawatan di Hospital yang sama,” katanya.

Sebelum kejadian, seramai 10 ahli keluarga termasuk mangsa dan adiknya dikatakan mengikut saudaranya bercuti di situ.

3660 dibaca
Berita Harian X