Jumaat, 11 Januari 2019 | 8:21pm
M Subendren meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di dalam keretanya. - Ihsan pembaca

Maut tersepit nahas enam kenderaan

PELABUHAN KLANG: Seorang pekerja Westport maut selepas sebuah lori tangki merempuh lima kenderaan di Jalan Pelabuhan Barat berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pulau Indah, di sini, petang tadi.

Dalam nahas jam 4.30 petang itu, mangsa, M Subendren, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di dalam keretanya sehingga menyebabkan kecederaan teruk pada kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata ketika kejadian, mangsa yang memandu PERODUA Kelisa dan empat lagi kenderaan lain sedang berhenti di lampu isyarat jalan berkenaan.

“Sejurus kemudian, sebuah lori tangki dari arah sama secara tiba-tiba melanggar belakang lori tangki di hadapannya hingga menyebabkan empat kenderaan turut dilanggar.

“Ia menyebabkan kereta Subendren terhimpit sehingga remuk antara dua treler berkenaan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Lima lagi pemandu berusia 31 hingga 48 tahun bagaimanapun tidak cedera,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Shamsul Amar berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

2957 dibaca
Berita Harian X