Jumaat, 11 Januari 2019 | 5:57pm

Polis serbu pejabat HRDF, siasat penyelewengan RM100 juta

KUALA LUMPUR; Polis menyerbu pejabat Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana, kes penipuan dan salah guna kuasa badan berkenaan.

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Saiful Azly Kamaruddin, berkata serbuan dijalankan JSJK Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bermula jam 10 pagi tadi.

“Serbuan bermula pada pagi tadi sehingga kini bagi mengambil dokumen-dokumen penting dan tiada sebarang penahanan dilakukan.

“Kita akan cari dulu dokumen-dokumen berkenaan dan jika ada bukti kukuh, tindakan susulan akan diambil,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Saiful Azly berkata pihaknya menerima dua laporan polis berhubung penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh lembaga pengarah terdahulu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah,” katanya.

Pada November lalu, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dilaporkan berkata kakitangan HRDF berpangkat tinggi dipercayai menyalahgunakan sekitar RM100 juta daripada dana RM300 juta milik badan berkenaan.

Kulasegaran juga menubuhkan jawatankuasa pengawasan pentadbiran bebas lima anggota (GOC) untuk mengkaji dan menyiasat dakwaan berkenaan.

819 dibaca
Berita Harian X