Jumaat, 11 Januari 2019 | 4:08pm
MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu menyaksikan pertukaran dokumen antara Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said dengan Pemegang Amanah Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Azzat Kamaludin di kampus UiTM Puncak Alam. - Foto Roslin Mat Tahir

Laporan penuh penyelewengan siap hujung Januari - Mohamad Sabu

SHAH ALAM: Laporan penuh siasatan terhadap beberapa kes serta pembelian aset yang mencurigakan dalam Kementerian Pertahanan dijangka siap sepenuhnya pada hujung bulan ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata sebaik saja menerima laporan penuh yang dibentangkan Jawatankuasa Siasatan Khas Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan itu nanti, pihaknya akan mendedahkan semua salah laku yang dikesan dalam pentadbiran kerajaan terdahulu kepada umum.

“Kita tidak akan menyembunyikan (salah laku). Malah, jika ada soalan dalam Parlimen nanti pun, saya sedia jawab apa juga soalan.

“Saya harap laporan ini akan siap dalam bulan ini. Kalau lewat sikit (siap laporan) pun, saya rasa ia tidak lama,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas perkembangan siasatan Jawatankuasa Siasatan Khas Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Jawatankuasa itu memulakan proses siasatan berhubung isu perolehan dan kewangan di Kementerian Pertahanan pada Julai tahun lalu.

Pada 30 Oktober lalu, jawatankuasa siasatan itu sudah mengemukakan laporan awal berhubung perkara berkenaan kepada Kementerian Pertahanan.

Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoU) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) bagi pembinaan projek Residensi LTAT-UiTM di kampus UiTM Puncak Alam.

Hadir sama, Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said; Ketua Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed dan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Berita Harian X