Jumaat, 11 Januari 2019 | 11:40am
- Gambar hiasan

Macau Scam: Pesara guru rugi RM120,000

TEMERLOH: Panik dan ketakutan selepas dikatakan terbabit dengan perjudian dalam talian mengakibatkan seorang pesara guru di sini sanggup memindahkan wang tunai berjumlah RM120,000 kepada sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.

Dalam kejadian pada 30 Disember lalu, mangsa wanita berusia 83 tahun menerima panggilan telefon daripada nombor 09-2961724 dan diberitahu talian rumahnya itu akan ditamatkan dalam masa dua jam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa diminta menekan butang sembilan sebelum disambungkan kepada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Amira Mohd yang mendakwa sebagai kakitangan Telekom Malaysia (TM).

“Selepas membuat semakan mendapati akaun telefon mangsa pernah didaftarkan bagi tujuan perjudian dalam talian. Mangsa menafikan perkara berkenaan dan talian berkenaan disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai Koperal Azmid.

“Panggilan itu kemudian disambung pula kepada seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Mazlan. Hasil semakan, Inspektor Mazlan memaklumkan bahawa mangsa juga terbabit dengan kes pengubahan wang haram dan perlu direman serta merta,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa menafikan perkara itu sebelum talian itu kononnya disambungkan pula kepada Bank Negara dan bercakap dengan seorang lagi suspek yang dikenali sebagai Razak.

“Razak memberi arahan kepada mangsa untuk membuat pindahan wang ke dalam akaun yang diberi kononnya untuk tujuan keselamatan. Mangsa kemudian membuat lapan kali pindahan wang ke empat akuan diberikan suspek.

“Semua pindahan wang dibuat bermula 3 Disember lalu hingga Selasa lalu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM120,000. Mangsa terus dihubungi suspek yang masih memintanya membuat pindahan wang,” kataya.

Katanya, selepas menyedari dirinya ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh semalam.

Beliau berkata, modus operandi suspek adalah dengan menyamar sebagai pegawai polis dan menawarkan bantuan kepada mangsa sehingga mendorongnya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun suspek.

“Polis sudah mengambil keterangan mangsa dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Berita Harian X