Khamis, 10 Januari 2019 | 6:32pm
TIMBALAN Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim menghadiri Forum Kes Penderaan Kanak-kanak Semakin Meningkat di Maktab PDRM Cheras, hari ini. - Foto Azhar Ramli

Tindakan hina Agong boleh ancam keselamatan negara - Timbalan KPN

KUALA LUMPUR: Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat tiga individu yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V menggunakan Akta Hasutan, adalah sebagai langkah menjaga keselamatan negara.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata isu yang dimainkan tiga suspek terbabit adalah sensitif selain menjadi tular di media sosial maka pihaknya terpaksa mengambil tindakan tegas sebelum perkara tidak diingini berlaku.

“Polis ambil tindakan (menggunakan Akta Hasutan), sebab kita tidak mahu kalau kita biarkan perkara ini ditularkan tanpa dikawal akan cetuskan situasi yang mengancam keselamatan negara.

“Kita perlu ambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang ada,” jelasnya,” katanya selepas menghadiri Forum Kes Penderaan Kanak-kanak Semakin Meningkat di Maktab PDRM Cheras, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Noor Rashid berkata, ketiga-tiga individu tersebut sudahpun dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Ketiga-tiga mereka dikenali sebagai Eric Liew Chee Ling, 46, yang juga pemilik akaun facebook ‘Eric Liew’; Azham Akhtar Abdullah, 27, pemilik akaun twitter @azhamakhtar dan Nur Alia Astaman, 26, pemilik akaun twitter @aliaastaman ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Hasutan.

Noor Rashid berkata, tindakan sedemikian mampu menimbulkan persepsi negatif terhadap Institusi Diraja negara ini.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Subang, Farhan Haziq Mohamed serta Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang, Syahredzan Johan menyifatkan tindakan itu melanggar moratorium dan menggesa supaya mereka dilepaskan.

629 dibaca
Berita Harian X