Khamis, 10 Januari 2019 | 4:25pm
Tan Sri Dr Rais Yatim. - Foto BERNAMA

Akta sedia ada cukup untuk lindungi institusi diraja

SEREMBAN: Tiada keperluan untuk kerajaan menggubal undang-undang baharu bagi melindungi institusi diraja daripada dicerca kerana akta sedia ada sudah mencukupi.

Bekas penasihat sosio budaya kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata Akta Hasutan 1948 dan Perlembagaan Persekutuan mengandungi pelbagai seksyen, perkara dan fasal bagi melindungi institusi diraja negara ini.

Katanya, mengikut Seksyen 3 dan Seksyen 4 akta itu menjadi kesalahan jika institusi diraja, Sultan dan Yang di-Pertuan Agong dicerca oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Bagi Perkara 181, 38, 32 dan 42 Perlembagaan Persekutuan, institusi diraja sudah diperkasa. Masalah berlaku ketika ini adalah kerajaan lemah dan tidak tegas dalam penguatkuasaan jika Raja dicerca, tidak seperti di Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, di Putrajaya hari ini bahawa kerajaan akan menggubal undang-undang baharu bagi melindungi kesucian institusi diraja selain meneliti semula hukuman sedia ada yang disifatkan terlalu ringan.

Dr Rais berkata, undang-undang baharu ini timbul apabila ada isu yang membabitkan cercaan terhadap Yang di-Pertuan Agong sebelum ada pihak yang mahu menjadi wira.

“Persoalan saya ialah adakah kita sangat lemah dan tidak cekap menggunakan penguatkuasaan hingga mudah diperlekehkan pihak tertentu.

“Saya berpendapat undang-undang baharu tidak perlu dan buktikan dulu kita cekap melaksanakan undang-undang sedia ada jika memperkecilkan Yang di-Pertuan Agong.

“Kenapa tiba-tiba nak gubal undang-undang baharu sedangkan kerajaan sekarang sudah ada 987 undang-undang utama negara,” katanya yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Minang Negeri Sembilan di Rahang, di sini, hari ini.

344 dibaca
Berita Harian X