Khamis, 10 Januari 2019 | 2:39pm

Peruntukan baharu pemunya benefisiari dalam Akta SPRM

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk memasukkan peruntukan baharu undang-undang mengenai tanggungjawab mendedahkan pemunya benefisiari (beneficial ownership) ke dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata langkah itu bagi membolehkan SPRM mengenal pasti pemilik sebenar kepentingan dalam sesuatu proses siasatan yang dijalankan.

“Ini kerana ada yang menggunakan nama orang lain tetapi dimiliki oleh orang lain. Jadi, kita buat undang-undang supaya dapat cekup pemilik sebenar. Ia bagi mengenal pasti pihak yang betul-betul terbabit.

Kita mahu mendapat pemunya benefisiari. Walaupun guna nama lain, kita tetap akan jumpa dan boleh dikenakan tindakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) 1/2019 di sini, hari ini.

Ditanya berhubung penahanan tiga individu yang didakwa membuat kenyataan berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V dan siasatan mereka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Dr Mahathir berkata terjemahan perbuatan menghina itu perlu dijelaskan.

“Pada masa ini, pihak penguatkuasaan tidak memahami apa yang dianggap sebagai menghina. Jadi, kita perlu ‘spell out’ (menyatakan) apa perbuatan atau perkataan yang dianggap sebagai menghina.

“Saya sudah menyatakan bahawa di Malaysia, kita mengamalkan kebebasan bersuara dan kalau bercakap mengenai perkara fakta, ia tak boleh disalahkan, sebaliknya kalau kita tutup mulut semua orang sehingga apabila jenayah berlaku pun kita tak boleh sebut. Ini akan berlaku ketidakadilan dalam negara kita,” katanya.

Mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, hari ini bahawa kerajaan akan menggubal satu akta baharu yang berperanan melindungi serta memelihara kemuliaan institusi diraja daripada dihina dan dipersenda, beliau berkata kerajaan perlu melihat terjemahan mana lebih tepat.

Kata Vui Keong hari ini, undang-undang berkenaan dijangka digubal tahun ini dan sememangnya kemuliaan institusi diraja perlu sentiasa dilindungi kerana Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.

Berita Harian X