Khamis, 10 Januari 2019 | 1:21pm
SEORANG murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Sungai Ombak dalam satu kemalangan di Kilometer 62, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, berhampiran Kuala Krai. - Foto Ihsan Polis Kelantan

Murid Tahun 4 maut selepas tercampak 80 meter

KOTA BHARU: Seorang murid Tahun Empat maut dan bapanya cedera dalam kemalangan apabila motosikal mereka dirempuh sebuah kereta di Kilometer 62, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat Batu Jong, Kuala Krai, malam tadi.

Kejadian pada jam 10.30 malam itu, Muhammad Danish Irfan Kamarulzaman, 10, murid Sekolah Kebangsaan Sungai Ombak yang cedera parah di kepala, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roming, berkata mangsa dan bapanya, Kamarulzaman Hussin, 36, menaiki motosikal jenis Yahama Lagenda.

Katanya, kejadian berlaku apabila pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza berusia 23 tahun yang juga penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menuju ke Kuala Krai tidak menyedari motosikal dinaiki dua beranak itu berada di sebelah kanan jalan.

“Motosikal yang ditunggang bapa mangsa, berhenti di sebelah kanan jalan untuk masuk ke simpang ke stesen minyak Caltex di Batu Jong sebelum dirempuh di bahagian belakang.

“Akibat pelanggaran itu, kedua mangsa tercampak lebih kurang 80 meter (m) sehingga menyebabkan Muhammad Danish Irfan maut di tempat kejadian.

“Mangsa cedera parah di kepala disebabkan tidak memakai topi keledar ketika kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ayah mangsa mengalami pendarahan dalam otak dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Krai manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X