Khamis, 10 Januari 2019 | 11:50am

Timbalan Pengarah agensi kerajaan ditahan reman

PUTRAJAYA: Seorang Timbalan Pengarah sebuah agensi kerajaan antara dua individu ditahan reman selama empat hari berkaitan kes meminta suapan berhubung kelulusan projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) bernilai RM270,000.

Majistret membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman kedua-dua suspek berkenaan sehingga Ahad ini dan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Menurut sumber, suspek berkenaan ditahan SPRM di pusat beli-belah sekitar Putrajaya semalam ketika menerima baki wang tunai berjumlah RM50,000 iaitu baki jumlah yang sepatutnya diterima olehnya.

Sumber berkata, suspek didakwa menerima wang suapan itu secara berperingkat sejak 2015 oleh syarikat terbabit sebagai ganjaran kerana menganugerahkan projek berkenaan.

USP adalah satu usaha kerajaan dalam memperluas jaringan komunikasi dan multimedia, khususnya bagi kawasan dan masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan itu.

576 dibaca
PENGAWAI SPRM membawa seorang Timbalan Pengarah sebuah agensi kerajaan antara dua individu ditahan reman selama empat hari berhubung kelulusan projek USP di Mahkamah Majistret Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X