Khamis, 10 Januari 2019 | 9:55am
KETUA Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau. - Foto Manorza Saraev

Berenang 1 kilometer minta bantuan selamatkan abang

MUKAH: Dengan menggunakan segala kudrat, seorang lelaki berenang sejauh satu kilometer meredah ombak bagi mendapatkan bantuan untuk abangnya selepas bot mereka terbalik berhampiran Pantai Tunjang, Balingian, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, dua beradik berkenaan sedang menangkap obor-obor sebelum bot mereka terbalik dibadai ombak besar.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau, ketika mengesahkan kejadian itu berkata, kedua-dua mangsa adalah penduduk tempatan yang dikenal pasti sebagai Adeni Seruji, 55, dan Abdul Halim Seruji, 62.

Katanya, melihatkan keadaan abangnya mengalami kekejangan otot kerana terlalu lama terendam dalam air ketika berpaut pada serpihan bot yang pecah, Adeni bertindak nekad berenang ke pantai bagi meminta bantuan.

“Keadaan laut yang agak bergelora menyebabkan mereka terpisah dan dihanyutkan arus. Bimbang dengan keadaan abangnya, mangsa nekad berenang ke pantai untuk meminta pertolongan,” katanya ketika dihubungi, di sini sebentar tadi.

Bertindak atas maklumat itu, penduduk kampung dengan bantuan agensi berkaitan melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di sekitar lokasi kejadian.

Jimmy berkata, warga emas itu ditemui selamat kira-kira jam 8.30 malam tadi sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Balingian untuk pemeriksaan lanjut.

Berita Harian X