Rabu, 9 Januari 2019 | 2:56pm
KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. - Foto Asyraf Hamzah

3 individu ditahan kerana hina Sultan Muhammad V

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga individu semalam bagi membantu siasatan terhadap dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V berkaitan isu baginda meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata mereka yang ditahan untuk siasatan itu adalah dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 dan 46 tahun.

“Pengguna Facebook, Eric Liew dan pemilik akaun Twitter masing-masing @azhamakhtar dan @aliaastaman ditahan selepas polis menerima beberapa laporan berhubung tindakan mereka yang memuat naik komen berunsur hinaan menerusi media sosial berkenaan.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menasihatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dengan tidak mengeluarkan kenyataan bersifat provokatif.

“Elakkan memanipulasi isu peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong XV sehingga mampu menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi diraja negara ini,” katanya.

2411 dibaca
Berita Harian X