Isnin, 7 Januari 2019 | 2:22pm
KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun - Foto ROSDAN WAHID

Jangan keluar kenyataan provokasi - Fuzi

KUCHING: Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bersifat provokasi susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong XV, berkuat-kuasa semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata polis sudah membuka beberapa kertas siasatan berhubung kenyataan melampau pihak tertentu berkaitan isu peletakan jawatan baginda.

Katanya, orang ramai juga tidak perlu mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur negatif sehingga menimbulkan persepsi yang tidak betul.

“Laporan yang diterima polis banyak membabitkan kenyataan yang dikeluarkan di media sosial. Polis akan menyiapkan kertas siasatan secepat mungkin sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Harapan polis agar tiada mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan persepsi negatif,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Siri 1/2019 Peringkat Kontinjen Sarawak, hari ini.

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, menerusi satu kenyataan, mengesahkan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong XV selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Wan Ahmad berkata, baginda sudah memaklumkan perkara itu secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.

Media sosial beberapa hari lalu kecoh dengan dakwaan kononnya mesyuarat khas Majlis Raja-Raja membincangkan kedudukan baginda.

824 dibaca
Berita Harian X