Isnin, 7 Januari 2019 | 2:02pm
BEKAS Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh. - Foto MUHD ZAABA ZAKERIA

Sivarraajh dapat kebenaran cabar keputusan SPR

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh, hari ini diberi kebenaran oleh Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkannya bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen itu pada 26 Januari ini.

Hakim Datuk Nordin Hassan membuat keputusan membenarkan permohonan kebenaran itu selepas mendapati terdapat isu yang boleh dihujahkan dalam kes semakan kehakiman difailkan Sivarraajh pada 31 Disember lalu.

Perkara itu diberitahu Peguam A Vasanthi yang mewakili Sivarraajh kepada pemberita selepas prosiding kes itu hari ini.

Yang turut hadir melalui prosiding dalam kamar hakim itu ialah Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy yang mewakili SPR selaku responden.

Sementara itu, Narkunavathy berkata Hakim Nordin turut menolak bantahan SPR terhadap permohonan kebenaran terbabit.

Katanya, SPR mengemukakan bantahan dengan alasan permohonan kebenarn oleh Sivarraajh bersifat pra matang.

Mahkamah kemudian menetapkan pada 10 Januari ini untuk mendengar permohonan semakan kehakiman berkenaan.

Dalam permohonan beliau, Sivarraajh memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keseluruhan keputusan SPR bahawa beliau tidak boleh bertanding atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya bagi tempoh lima tahun bermula 13 Disember 2018.

Beliau yang juga Naib Presiden MIC turut memohon perisytiharan bahawa laporan Hakim Pilihan Raya bertarikh 13 Disember 2018 adalah tidak sah kerana tidak mematuhi peruntukan Seksyen 37 (1)(a)(i) dan (ii) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Turut dimohon, perisytiharan bahawa keputusan SPR itu tidak sah dan bersifat menindas.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan, kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal dan tidak sah selepas mendapati calon DAP, M Manogaran, berjaya membuktikan terdapat amalan rasuah yang menyaksikan kemenangan Sivarraajh mewakili Barisan Nasional.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa terbukti wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan oleh Sivarraajh.

Berita Harian X