Ahad, 6 Januari 2019 | 3:54pm
Sebuah kereta terbabas dan melanggar sebatang pokok dalam kejadian di Kampung Jering, Air Tawar di Manjung yang turut menyebabkan dua daripada empat mangsa meninggal dunia. - Foto ihsan Bomba

2 maut nahas

MANJUNG: Dua maut manakala dua lagi parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar pokok dalam kejadian di Kilometer 55 Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Kampung Jering, Ayer Tawar, dekat sini, pagi tadi.

Difahamkan, kereta dinaiki empat mangsa dari Johor itu dalam perjalanan ke Pantai Remis untuk menghadiri upacara keagamaan.

Pemandu kereta berkenaan, Ong Eng Hoi, 54, dan wanita yang juga penumpang belakang sebelah kanan, Tan Kah Sim, 52, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Turut cedera, seorang lelaki berusia 24 tahun dan wanita berusia 46 tahun dengan masing-masing patah kaki kanan dan cedera di tangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Boo Khim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.55 pagi.

Katanya, kemalangan itu membabitkan empat mangsa yang menaiki sebuah kereta dari arah Ipoh menghala ke arah Pantai Remis.

“Apabila tiba di tempat kejadian kereta yang dinaiki empat mangsa itu hilang kawalan lalu melanggar pokok di bahu jalan.

“Kejadian itu menyebabkan pemandu kereta dan penumpang belakang di bahagian kanan cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan. Pemandu kereta adalah adik ipar wanita yang turut maut,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat dan dua lagi mangsa yang cedera turut menerima rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta itu membabitkan seorang wanita dan lelaki, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir.

“Dua lagi mangsa yang cedera iaitu seorang lelaki dan seorang wanita sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke hospital.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi yang diketuai Suhaimi Nijar itu tamat pada jam 7.56 pagi,” katanya.

Berita Harian X