Ahad, 6 Januari 2019 | 2:59pm
Aksi Superman yang dilakukan empat lelaki dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya DUKE, Kuala Lumpur, awal pagi tadi. - Foto ihsan PDRM

4 lelaki pamer gaya 'Superman' dicekup

KUALA LUMPUR: Padah akibat menunggang motosikal dengan gaya ‘Superman’, empat lelaki ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan (Op Samseng Jalanan) di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), di sini, awal pagi tadi.

Operasi selama tiga jam dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Unit Risikan dan Operasi, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur yang diketuai Asisten Superintendan Ahmad Fuad Mahmod itu bermula jam 1.30 pagi tadi.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata hasil rondaan dan risikan dilakukan di lokasi terbabit mendapati terdapat aktiviti rempit membabitkan beberapa motosikal ditunggang sekumpulan lelaki.

“Kami berjaya merakam aksi ‘Superman’ dilakukan empat lelaki berusia antara 16 hingga 30 tahun dalam operasi itu.


Aksi Superman yang dilakukan empat lelaki dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya DUKE, Kuala Lumpur, awal pagi tadi. - Foto ihsan PDRM

“Pemeriksaan mendapati dua remaja tidak bersekolah masing-masing berusia 16 dan 17 tahun tidak mempunyai lesen, manakala seorang lagi pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun turut didapati menunggang motosikal tanpa lesen,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Zulkefly berkata, keempat-empat individu terbabit turut didapati melakukan kesalahan lain termasuk melakukan pengubahsuaian pada motosikal ditunggang mereka.

“Mereka turut mengubah suai sistem enjin motosikal untuk menambah kelajuan dan komponen lain seperti ekzos mempunyai bunyi yang sangat kuat serta tayar menggunakan tayar kecil.

“Malah, mereka juga menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut skala ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, semua empat lelaki terbabit dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur, manakala motosikal mereka turut dibawa ke balai sama untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara bahaya dengan menunjukkan aksi ‘Superman’,” katanya.

Berita Harian X