Ahad, 6 Januari 2019 | 2:37pm
GAMBAR fail, seramai 150 ahli kariah Masjid Saidina Umar Al-Khattab di Kampung Guar Syed Alwi berhimpun selepas solat Jumaat mendesak Mufti Perlis dan Pengarah JAIPs meletakan jawatan berhubung pemecatan 25 imam kariah negeri Perlis, Jumaat lalu. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Imam dipecat akur tetapi....

KANGAR: Seramai 25 imam yang dipecat dan ditamatkan tempoh perkhidmatan mereka di negeri ini akur keputusan Raja Muda Perlis, namun meminta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengambil kira pendapat jemaah kariah berhubung pelantikan imam baharu.

Seorang imam yang enggan dikenali, berkata jika diamati pada perhimpunan aman Jumaat lalu, jemaah mahukan imam lama.

“Sudah ada jemaah yang bersolat di masjid lain sebagai tanda protes terhadap keputusan MAIPs.

“Malah, ada sebilangan mereka bertindak tidak mahu berjemaah di masjid hanya kerana imam baharu berdiam diri selepas mengimamkan solat fardu,” katanya.

Sebelum ini, polemik lantikan imam di Perlis bermula selepas 25 imam kariah sekitar Perlis dipecat, manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan melalui surat berkuat kuasa Selasa lalu.

Surat yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) bertarikh 31 Disember 2018 itu dilihat dibuat secara tergesa-gesa kerana tiada rekod rujukan pada bahagian atas surat ditulis, selain notis yang dikeluarkan itu dianggap terlalu singkat sehingga mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka.

Imam berkenaan berkata, mereka turut menantikan penjelasan daripada JAIPs berhubung pemecatan mereka yang dilakukan secara tergesa-gesa.

“Tarikh surat berkenaan dikeluarkan pada 31 Disember 2018, dan berkuat kuasa serta merta pada 1 Januari lalu.

“Surat pemecatan itu dikeluarkan dalam keadaan tergesa-gesa, seolah tiada ruang untuk kami meminta penjelasan daripada pihak berkenaan.

“Untuk pengetahuan umum, sebenarnya imam yang tidak disambung kontrak berjumlah lima seorang sahaja. Selebihnya itu boleh dikatakan sebagai dipecat,” katanya.

Justeru katanya, semua imam terbabit menantikan jawapan sebenar daripada pihak berkenaan supaya isu yang timbul dapat diredakan.

Berita Harian X