Khamis, 3 Januari 2019 | 11:12am
TABUNG Masjid Ar Rahman yang menjadi sasaran suspek untuk mencuri wang RM13 menggunakan dawai yang diubahsuai. - Foto ihsan PDRM

Lelaki kantoi 'pancing' tabung masjid

JITRA: Perbuatan seorang lelaki ‘memancing’ wang RM13 dari tabung masjid menggunakan dawai yang diubahsuai terbongkar apabila penduduk di Kampung Padang Perahu berjaya menangkapnya semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, suspek berusia 22 tahun menggunakan dawai yang dilekatkan pita pada bahagian hujung bagi membolehkan wang di dalam tabung melekat pada hujung dawai.

Bagaimanapun, kejadian itu disedari seorang penduduk kampung yang melihat kelibat seorang lelaki berlari masuk ke tandas wanita di Masjid Ar Rahman berkenaan.

Penduduk berusia 42 tahun itu kemudian memanggil beberapa rakannya sebelum menyuruh suspek keluar dari tandas berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata penduduk kampung itu mengesyaki sesuatu apabila mendapati kipas terpasang dalam ruang solat selain keadaan tabung masjid itu berubah dari kedudukan asal.

Beliau berkata, mereka kemudian memanggil setiausaha masjid untuk melihat semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mendapati rakaman jelas menunjukkan suspek sedang melakukan kegiatan mencuri wang dari tabung itu.

“Berikutan itu, mereka kemudian menghubungi polis dan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dari Balai Polis Jitra dan Pasukan Task Force dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu tiba di lokasi tidak lama kemudian untuk melakukan tangkapan semula.

“Hasil pemeriksaan turut menemui peralatan untuk mencuri wang tabung masjid itu termasuklah dawai yang ditemui di dalam beg sandang suspek dan satu gulung, pita PVC hitam serta wang tunai berjumlah RM13,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ismail berkata, penduduk kampung mendakwa ini adalah kejadian kedua membabitkan kes kecurian tabung di masjid itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Berita Harian X