Selasa, 1 Januari 2019 | 4:30pm
LEE Lam Thye. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

12 lokasi berisiko lemas dikenal pasti - Lam Thye

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah mengenal pasti 12 lokasi di seluruh negara sebagai kawasan berisiko tinggi untuk kejadian lemas.

Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata antara lokasi dikenal pasti di Selangor ialah Sungai SKC Kampung Timah, Sungai Tinggi, Sungai Gasi di Sungai Buloh, Sungai Chiling di Kuala Kubu Baru, Air Terjun Sungai Sendat di Ulu Yam dan Empangan Semenyih.

Kawasan berisiko tinggi lain ialah Sungai Kampung Batu Payung di Tawau, Sabah; Sungai Kampung Sabak di Pengkalan Chepa, Muara Tok Bali di Pasir Puteh dan Pantai Nipah di Bachok, Kelantan; Air Terjun Lata Berembun di Raub, Pahang; Air Terjun Chamang di Bentong, Pahang serta Teluk Bahang di Batu Feringghi, Pulau Pinang.

Katanya, menerusi pertemuan bersama Ketua Pengarah JBPM, Datuk Muhamad Hamdan Wahid, kes terbaru tiga beradik yang lemas di Pantai Sura Tengah, Dungun, adalah antara lokasi yang dipantau JBPM walaupun tidak tersenarai sebagai kawasan panas.

“Jadi saya ingin mengingatkan orang ramai perlu memahami dan mematuhi amaran bahawa bendera putih yang dinaikkan menunjukkan keadaan laut selamat untuk berenang dan melakukan aktiviti di dalam air.

“Bendera merah pula amaran kepada semua untuk menjauhkan diri dari air,” katanya dalam satu kenyataan kepada NSTP, hari ini.

Kelmarin, tiga beradik iaitu Nurain Salsabila Zawawi, 6; Nurain Sofia, 8; dan Nurain Fatma, 10, lemas selepas dipukul ombak besar sebelum menariknya ke dalam laut.

Ketiga-tiga mangsa berasal dari Kampung Peringat, Kelantan dan dikatakan mengikuti ibu saudaranya ke Dungun untuk bercuti.

Lam Thye berkata, ibu bapa dan orang dewasa perlulah sentiasa memantau anak mereka atau kanak-kanak lain ketika berada di kawasan pantai atau lokasi rekreasi air.

“Sebagai orang dewasa, kita bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan kanak-kanak sepanjang masa kerana mereka mungkin tidak menyedari risiko kemalangan atau lemas di kawasan rekreasi air.

“Sering kali laporan diterima membabitkan ibu bapa yang membiarkan anak mereka bermain air tanpa sebarang pengawasan sehingga menyebabkan tragedi lemas yang menyayat hati.

“Justeru kempen kesedaran mengenai bahaya lemas juga perlu diadakan membabitkan setiap pihak dan harus dijadikan amalan sebelum cuti sekolah,” katanya.

Berita Harian X