Isnin, 31 Disember 2018 | 8:03pm
NUR Syahida Abdullah ibu kepada tiga beradik yang lemas di Pantai Sura Tengah, Dungun, Terengganu. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR

Ibu tiga beradik reda kehilangan anak

RANTAU PANJANG: “Kelengkapan sekolah tiga anak sudah beli dan yuran pun sudah bayar.

“Kehilangan mereka serentak amat menyedihkan, namun saya reda dengan kejadian ini,” kata Nur Syahida Abdullah, 36, ibu kepada tiga beradik yang lemas di Pantai Sura Tengah, Dungun, Terengganu, hari ini.

Katanya, baju dan peralatan persekolahan anak yang dibeli itu hanya tinggal kenangan untuknya dan suami, Zawawi Wahab, 42.

“Saya mengetahui anak ditarik ombak semalam dan reda dengan ketentuan Ilahi.

“Saya tidak dapat nak ceritakan kejadian kerana tiada di lokasi semalam,” katanya ketika ditemui di Masjid Mukim Kampung Rahmat, di sini.

NSTP sebelum ini melaporkan percutian empat keluarga ke Dungun bertukar tragedi selepas tiga beradik Nur Ain Fatma Zawawi, 10, Nur Ain Sofea, 9, dan Nur Ain Sasabila, 6, dikhuatiri lemas selepas ditarik ombak ketika bermain di tepi Pantai Sura Tengah, jam 6.40 petang semalam.

Jenazah Nurain Sofia ditemui Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) jam 7.48 pagi dalam jarak lima kilometer dari tempat kejadian.

Manakala, jenazah kedua, Nurain Salsabila, 6, ditemui jam 9.40 pagi kira-kira satu kilometer dari darat dan Nurain Fatma, 10, ditemui dalam jarak lima kilometer dari lokasi kejadian jam 11.03 pagi, hari ini.

3078 dibaca
Berita Harian X