Isnin, 31 Disember 2018 | 7:40pm

3 beradik selamat dikebumikan

RANTAU PANJANG: “Sebaik tiba dari Hatyai, Thailand, kelmarin, tiga cucu berebut memberi kekacang kepada saya dan mereka tidak putus memberi ciuman di pipi serta bersalaman.

“Ia menjadi kenangan terakhir kerana tiga beradik itu sangat rapat dan sering melawat saya serta neneknya,” kata Wahab Mat Adam, 80, datuk kepada tiga beradik yang lemas di Pantai Sura Tengah, Dungun, Terengganu, hari ini.

Wahab berkata, lima beranak itu singgah di rumahnya di Kampung Batu Lapan, Nilam Puri, Kota Bharu untuk memberi buah tangan yang dibeli di Hatyai.

Katanya, sebelum azan Maghrib, anaknya, Zawawi Wahab, 42, menantu, Nur Syahida Abdullah, 36, dan tiga cucu masing-masing, Nur Ain Fatma Zawawi, 10, Nur Ain Sofea, 9, dan Nur Ain Sasabila, 6, pulang ke rumah mereka di Kampung Pangkal Pisang, Peringat.

Wahab berkata, tiga cucunya itu sangat peramah dan tidak menunjukkan sikap pelik.

Katanya, beliau mengetahui kejadian yang menimpa tiga cucunya jam 8 malam semalam selepas dimaklumkan seorang cucunya.

“Pakcik tidak pergi ke Dungun kerana menghidap sakit jantung dan menunggu di rumah. Saya reda dengan kejadian ini dan berharap anak serta menantu tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.

Terdahulu, tiga beradik berkenaan selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rahmat, di sini, jam 6.55 petang, hari ini.

Jenazah mereka tiba di Masjid Mukim Kampung Rahmat di sini pada jam 6.15 petang diiringi ibu bapa dan ahli keluarga dari Hospital Dungun, Terengganu.

Jenazah mereka kemudian disembahyangkan dan dibawa ke tanah perkuburan yang dihadiri kira-kira 300 orang termasuk ibu bapa, ahli keluarga dan penduduk kampung.

Ibu tiga kanak-kanak itu hampir pengsan sebaik melihat tiga jenazah anaknya masuk ke dalam liang.

Sementara itu, sepupu mangsa, Ahmad Syafiq Abdul Aziz, 23, berkata ketika kejadian beliau sedang tidur di rumah inap di depan Pantai Sura.

“Ibu saudara mengejutkan saya dan memaklumkan tiga sepupu ditarik ombak. Tanpa berlengah saya berlari dan terjun ke pantai.

“Saya mencuba sebanyak tiga kali termasuk menggunakan pelampung, namun ditolak ombak naik ke atas. Saya dapat lihat tiga sepupu itu berada di tengah-tengah laut,” katanya.

NSTP sebelum ini melaporkan percutian empat keluarga ke Dungun bertukar tragedi selepas tiga beradik Nur Ain Fatma Zawawi, 10, Nur Ain Sofea, 9, dan Nur Ain Sasabila, 6, dikhuatiri lemas selepas ditarik ombak ketika bermain di tepi Pantai Sura Tengah, jam 6.40 petang semalam.

Jenazah Nurain Sofia ditemui Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) jam 7.48 pagi dalam jarak lima kilometer dari tempat kejadian.

Jenazah kedua, Nurain Salsabila, 6, ditemui jam 9.40 pagi kira-kira satu kilometer dari darat dan Nurain Fatma, 10, ditemui dalam jarak lima kilometer dari lokasi kejadian jam 11.03 pagi, hari ini.

3983 dibaca
TIGA beradik dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rahmat. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X