Ahad, 30 Disember 2018 | 8:06pm
Anggota bomba berjaya menyelamatkan tiga remaja lelaki yang sesat ketika menuruni Bukit Larut. - Ihsan Bomba

3 remaja sesat di Bukit Larut

TAIPING: Tiga remaja lelaki tersesat selepas menggunakan jalan pintas ketika menuruni Bukit Larut di sini, petang tadi.

Remaja berusia 14 dan 16 tahun yang melakukan aktiviti mendaki bukit itu pada jam 9 pagi, cemas selepas gagal menemui jalan keluar lalu menghubungi talian kecemasan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard, berkata pihaknya dengan kekuatan 10 anggota bersama 13 anggota polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 2.35 petang.

Menurutnya, setibanya di kaki bukit pihaknya berjaya menghubungi mangsa bagi mengetahui keadaan mereka.

“Berdasarkan keterangan diberikan mereka bertiga berada dalam keadaan selamat dan tersasar dari trek asal kerana cuba mengikut jalan pintas.

“Selepas tahu kedudukan mereka, pihak bomba menaiki dua kenderaan pacuan empat roda milik Majlis Perbandaran Taiping (MPT) bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

“Mangsa kemudian ditemui di Kilometer 8 di laluan utama bukit itu pada jam 5.19 petang.

“Kedudukan mereka ketika itu pada ketinggian 900 meter dari paras laut,” katanya dihubungi NSTP di sini sebentar tadi.

Menurutnya, semua mangsa yang ditemui dalam keadaan keletihan, dibawa turun ke kaki bukit untuk pemeriksaan kesihatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi tamat pada jam 6.08 petang.

1152 dibaca
Berita Harian X