Ahad, 30 Disember 2018 | 12:05pm

Peniaga buah kena sembelih

GEORGETOWN: Angkara dadah, seorang lelaki mengamuk dan mengelar leher pekerja sebuah kedai buah di Pasar Karat, Lorong Kulit, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, suspek yang berusia 35 tahun dan tinggal di lokasi berhampiran pada mulanya dilihat membawa sebilah parang sebelum menghampiri mangsa berusia 46 tahun yang ketika itu sedang bersiap untuk memulakan perniagaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata suspek kemudian menyerang mangsa namun kejadian itu dilihat seorang wanita yang juga majikan mangsa sebelum dia menghubungi polis.

"Anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan suspek yang menyedari kehadiran polis terus mengelar belakang leher mangsa menggunakan parang terbabit.

"Ketika itu, suspek cuba ditenangkan namun dia terus menyerang anggota polis menggunakan parang menyebabkan polis terpaksa melepaskan satu das tembakan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Che Zaimani berkata, suspek yang mengalami kecederaan di lutut kiri dan mangsa parah di leher itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan dan kedua-dua mereka dilaporkan stabil.

"Hasil keterangan daripada ibu suspek, wanita itu mendakwa yang anaknya mempunyai masalah mental dan akan mengamuk apabila menghisap dadah.

"Ibu suspek juga memberitahu anaknya menggunakan parang milik suaminya yang disimpan dalam rumah mereka," katanya.

Menurutnya, setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian, namun polis tidak menolak kemungkinan ia berkaitan dengan kes dadah.

"Setakat ini, kita sedang menunggu kedua-dua mereka beransur pulih untuk diambil keterangan.

"Pemeriksaan awal mendapati suspek mempunyai empat rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah dan jenayah manakala mangsa pula mempunyai 26 rekod kesalahan lampau juga kes dadah dan jenayah," katanya.

Difahamkan, pergaduhan itu dikatakan berpunca kerana suspek tidak berpuashati berikutan mangsa enggan membayar hutang berhubung jual beli dadah.

ANGGOTA polis menyiasat lokasi kejadian seorang peniaga buah parah selepas lehernya disembelih seorang lelaki dalam pergaduhan di Pasar Karat, Lorong Kulit, hari ini. - Foto ihsan PDRM
ANGGOTA polis menyiasat lokasi kejadian seorang peniaga buah parah selepas lehernya disembelih seorang lelaki dalam pergaduhan di Pasar Karat, Lorong Kulit, hari ini. - Foto ihsan PDRM
ANGGOTA polis menyiasat lokasi kejadian seorang peniaga buah parah selepas lehernya disembelih seorang lelaki dalam pergaduhan di Pasar Karat, Lorong Kulit, hari ini. - Foto ihsan PDRM
Berita Harian X