Ahad, 30 Disember 2018 | 11:28am
KETUA Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa.

Polis belum tahan lelaki menyamar tentera

TAMPIN: Polis menafikan suspek lelaki menyamar sebagai pegawai tentera berpangkat kolonel yang cuba menceroboh masuk ke sebuah kem di daerah ini, sudah ditahan.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa, berkata maklumat yang tersebar di laman sosial sejak malam tadi mengatakan suspek sudah ditahan adalah tidak benar.

“Kami masih memburu suspek dan belum mengenal pasti identiti sebenar lelaki terbabit.

“Bagaimanapun, kami sudah mendapat beberapa petunjuk yang dapat membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan polis giat mengesan lelaki terbabit selepas menerima laporan dia yang memakai seragam tentera lengkap cuba memasuki sebuah kem tentera darat pada jam 2.30 petang, 8 Disember lalu.

Kes penyamaran itu dan gambar yang dimuat turun daripada akaun Facebook yang dikatakan milik suspek itu turut menjadi tular di laman sosial Facebook serta aplikasi WhatsApp, sejak kelmarin.

Berdasarkan maklumat yang tular itu, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) Port Dickson, diminta berhati-hati kerana lelaki itu didakwa berpotensi melakukan perkara boleh mendatangkan kemudaratan terhadap keselamatan kem.

Ramli berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan lelaki itu mempunyai masalah mental dan buat masa ini dia tidak dianggap sebagai ancaman.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Berita Harian X