Jumaat, 28 Disember 2018 | 8:22pm
Anggota bomba mengeluarkan anggota PGA yang cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung di Kilometer 33.3, Jalan Kaki Bukit - Wang Kelian. - Ihsan PDRM
Keadaan kenderaan pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 33.3, Jalan Kaki Bukit - Wang Kelian. - Ihsan PDRM

Anggota PGA cedera, jip jatuh gaung

PADANG BESAR: Lapan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Batalion 2, Kulim, Kedah cedera termasuk dua parah selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung di Kilometer 33.3, Jalan Kaki Bukit - Wang Kelian, di sini petang tadi.

Dalam kejadian jam 3.30 itu, Inspektor Mohd Sahidi Pauzi dan Koperal Nassir Kaderi masing-masing parah di kepala dan leher.

Manakala Koperal Mohd Shafiq Mohd Rosli, Koperal Muhammad Hafizuddin Winzi, Koperal Mohd Sharifudin Abdul Majid, Koperal Mohd Faizol Mohd Dom, Lans Koperal Khairul Anuar Kassim dan Konstabel Mohd Hairie Mohd Adnan hanya mengalami kecederaan ringan.

Semua mangsa menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd, berkata siasatan awal mendapati kenderaan jenis Land Rover Defender yang dipandu Mohd Hairie terbabas ketika menuruni bukit.

“Kenderaan mereka dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit sehingga merempuh penghadang jalan sebelum terjunam ke gaung dan melanggar sebatang pokok,” katanya ketika dihubungi.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

1313 dibaca
Berita Harian X