Jumaat, 28 Disember 2018 | 2:14pm

Budak 10 tahun dirogol bapa sejak tahun lalu

AMPANG: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dipercayai dirogol bapanya di kediaman mereka di Taman Changkat Permata, dekat sini, sejak tahun lalu.

Perlakuan sumbang lelaki berusia 35 tahun itu terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian berkenaan kepada neneknya, sebelum wanita berusia 60 tahun itu membuat laporan polis.

Difahamkan, lelaki berkenaan beberapa kali merogol mangsa selain mencabul kehormatan mangsa dengan meraba bahagian sulitnya sejak kanak-kanak itu tinggal bersama bapanya bermula tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintenden Mohd Zaid Hassan, berkata susulan laporan dibuat seorang wanita pada 25 Disember lalu, pihaknya menahan seorang lelaki pada hari sama di sekitar Ampang.

“Pada Selasa lalu, seorang wanita berusia 60 tahun iaitu nenek kepada kanak-kanak berusia 10 tahun membuat laporan mendakwa cucu perempuannya dirogol bapa kanak-kanak perempuan itu.

“Daripada maklumat yang kami terima, mangsa sejak kecil dijaga neneknya sebelum diserahkan kepada bapanya pada 2017 dan sepanjang dijaga lelaki berkenaan, mangsa sering dirogol pada waktu malam sehingga awal Disember lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kerap menolak tindakan tanduk bapanya itu tetapi dipaksa melakukan perbuatan berkenaan selain mangsa juga tidak memberitahu kepada sesiapa kerana takut dimarahi suspek.

“Kami difahamkan, lelaki berkenaan sudah bercerai dengan ibu mangsa dan mangsa juga mempunyai seorang adik berusia tujuh tahun yang tinggal bersama ibunya di Rawang.

“Susulan daripada laporan yang dibuat nenek mangsa, suspek yang juga bapa kepada kanak-kanak itu ditahan pada 25 Disember lalu dan direman sehingga 31 Disember untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X