Jumaat, 28 Disember 2018 | 11:19am
SEBELAS penagih dadah berusia 18 hingga 55 tahun ditahan polis dalam operasi di Kampung Lembah Raja. -ihsan polis

11 penagih sedang khayal dicekup

TASEK GELUGOR: Pesta dadah sekumpulan lelaki berakhir apabila ‘port’ melepaskan gian mereka diserbu sepasukan polis dalam operasi di Kampung Lembah Raja, di sini semalam.

Dalam operasi selama 12 jam yang bermula jam 6 pagi itu, polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara berjaya memberkas 11 penagih berusia 18 hingga 55 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata semua penagih yang ditahan itu terdiri daripada penganggur dan juga bekerja sebagai buruh.

Menurutnya, suspek menjadikan kawasan terbabit sebagai sarang melepaskan gian mereka menghisap dadah dan ada antara mereka tidak sedar kehadiran polis kerana berada dalam keadaan khayal.

“Hasil pemeriksaan kita berjaya merampas heroin seberat 30.2 gram, syabu (0.9g) dan air ketum daripada tujuh lelaki yang ditahan.

“Semua dadah yang dirampas itu bernilai RM1,200 dan pemeriksaan lanjut mendapati ia untuk dijual dan juga kegunaan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Noorzainy berkata, ujian air kencing mendapati semua suspek positif methamphetamine dan mereka kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Kita akan sentiasa melakukan operasi seumpama ini secara berterusan bagi mengurangkan aktiviti mengedar dan menghisap dadah terutama di daerah ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah boleh menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

218 dibaca
Berita Harian X