Khamis, 27 Disember 2018 | 9:09pm
PENUNGGANG motosikal, Hasnina Norsafri dikatakan terbabas sebelum dilanggar sebuah kenderaan lain menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi. - Foto Ihsan PDRM

Polis cari saksi nahas

PETALING JAYA: Saksi kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal, Hasnina Norsafri, 22, di Kilometer 13.5 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) hala ke Damansara, di sini Khamis lalu, diminta tampil membantu siasatan polis.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal berseorangan dikatakan terbabas sebelum dilanggar sebuah kenderaan lain menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata sehingga kini pihaknya masih berusaha mengesan kenderaan yang melanggar Hasnina.

“Pemandu kenderaan yang melanggar mangsa juga masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Justeru kita minta saksi yang melihat kemalangan itu untuk tampil membantu siasatan kerana semakan turut mendapati kejadian itu tidak terakam di rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lebuh raya berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut Azman, saksi boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Nazreen Nasharuddin dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Petaling Jaya di talian 010-2105101 untuk menyalurkan maklumat.

Berita Harian X