Khamis, 27 Disember 2018 | 8:37pm
WANITA warga emas Khatijah Salleh (duduk, dua dari kanan) bergambar bersama ahli keluarga buat kali terakhir sebelum meninggal dunia dalam pesawat MH8232 melintasi ruangan udara Doha, Qatar, awal pagi tadi. - Foto IHSAN KELUARGA

Warga emas meninggal dalam pesawat ke Tanah Suci

SUNGAI BESAR: Hasrat seorang wanita warga emas menunaikan umrah bersama ahli keluarga tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia dalam pesawat yang dalam perjalanan ke Madinah, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi (waktu Malaysia), Khatijah Salleh, 63, menghembuskan nafas terakhir ketika pesawat MH8232 melintasi ruang udara Doha, Qatar.

Turut bersama-sama Khatijah dalam penerbangan itu adalah suaminya, Abdul Shukor Achil, 65, dan enam ahli keluarga lain.

Anak lelaki Allahyarham, Mohd Shahrul Abdul Shukor, 34, berkata, sebelum bertolak ke Tanah Suci, ibunya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap selain sempat berpesan menjaga adik beradik yang ditinggalkan di tanah air.

“Beberapa minggu sebelum berangkat, mak menunjukkan perasaan gembira mengatakan dapat pergi umrah bersama ayah (Abdul Shukor) dan ahli keluarga lain.

“Malah, mak cukup bersemangat untuk sampai ke Tanah Suci bagi melakukan ibadah umrah. Namun, Allah lebih menyayanginya dan kami semua reda akan pemergian mak,” katanya ketika ditemui NSTP di kediamannya di Parit Enam Timur, hari ini.

Mohd Shahrul berkata, Allahyarham yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi menjalani pemeriksaan kesihatan dan dilaporkan sihat sebelum penerbangan.

Menurutnya, Allahyarham bersama ahli keluarga berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jam 6.30 petang, semalam.

Difahamkan, jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Baqi’, Madinah.

Ahli keluarga Allahyarham akan mengadakan solat jenazah ghaib di Surau Al-Islah, Parit Enam Gambut, Sungai Panjang, di sini, malam ini.

4845 dibaca
Berita Harian X