Khamis, 27 Disember 2018 | 7:47pm
Anggota bomba mengambil masa lebih tiga jam untuk mengeluarkan kaki kanan seorang pekerja yang tersepit di dalam mesin pengisar barangan plastik di sebuah kilang kitar semula di Semenyih. - Ihsan Bomba Selangor

3 jam tahan azab, kaki tersepit mesin kisar plastik kitar semula

KAJANG: Kaki kanan seorang pekerja warga Indonesia cedera parah selepas tersepit separas peha pada mesin pengisar barangan plastik dalam kejadian di sebuah kilang kitar semula di Batu 23, Jalan Sungai Lalang, Semenyih di sini, pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Ignasius Igo, 30, dikatakan sedang melakukan kerja mengisar menggunakan mesin berkenaan sebelum dia dipercayai tergelincir.

Bomba yang menerima laporan kejadian pada jam 11.40 pagi, menghantar satu jentera bersama 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih ke lokasi untuk mengeluarkan kaki Ignasius.

Komander Operasi , Penolong Penguasa Bomba Zainal Elias Abdul Aziz ketika dihubungi NSTP, memaklumkan kerja-kerja mengeluarkan kaki mangsa mengambil sedikit masa kerana mereka terpaksa memotong mesin berkenaan terlebih dahulu.

“Kerja-kerja memotong mesin berkenaan mengambil masa lebih tiga jam kerana ia perlu dibuat secara berhati-hati kerana kita tidak mahu kecederaan pada kaki mangsa bertambah parah.

“Anggota kita menggunakan mesin khas seperti pemotong dan ‘spreader’ hidraulik untuk memotong mesin berkenaan dan selepas lebih tiga jam, kaki mangsa berjaya dibebaskan dan kita serahkan dia kepada pihak ambulans dari Klinik Kesihatan Semenyih,” katanya.

Katanya, mangsa diberi rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X