Khamis, 27 Disember 2018 | 7:22pm
Lokasi seorang kanak-kanak lyang ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam kolam pancing di sebelah rumahnya di FELDA Jelai di Gemas. - Ihsan PDRM
Lokasi seorang kanak-kanak lyang ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam kolam pancing di sebelah rumahnya di FELDA Jelai di Gemas. - Ihsan PDRM

Budak 2 tahun lemas dalam kolam pancing bapa

TAMPIN: Seorang kanak-kanak lelaki dua tahun ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam kolam pancing di sebelah rumahnya di FELDA Jelai di Gemas di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa, berkata dalam kejadian jam 12.35 tengah hari itu, mangsa dipercayai masuk ke kawasan kolam berkenaan tanpa disedari ahli keluarganya.

“Sebelum kejadian, mangsa bermain bersama kembar perempuannya serta tiga lagi adik beradik di depan rumah yang terletak berhampiran kolam pancing diusahakan bapa mereka.

“Ibu mereka kemudian menyuruh mereka masuk ke dalam rumah sebelum wanita itu ke bilik air untuk memandikan seorang anaknya.

“Sebaik keluar dari bilik air, dia menyedari mangsa tiada di dalam rumah dan segera keluar untuk mencari sebelum melihat mangsa terapung dalam kolam berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Ramli berkata, wanita itu segera meminta bantuan suaminya dan mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan FELDA Jelai untuk rawatan kecemasan sebelum doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati tiada kesan lebam atau kecederaan pada tubuh mangsa dan mayatnya dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.

Beliau berkata, polis turut menemui selipar serta sebiji bola di dalam kolam itu yang dipercayai digunakan mangsa untuk bermain sebelum kejadian berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian berlaku tiada pengunjung di kawasan kolam itu kerana biasanya pemancing hanya datang ke situ pada waktu petang hingga lewat malam.

944 dibaca
Berita Harian X