Khamis, 27 Disember 2018 | 2:15pm
Jenazah pemuda berusia 39 tahun ditemui pada jarak kira-kira tiga kilometer dari tempat dia dilaporkan terjun. - NSTP/Rosli Ilham

Lelaki terjun muara ditemui lemas

DUNGUN: Lelaki yang terjun ke muara dekat Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dungun, semalam, ditemui lemas tengah hari tadi.

Mayat pemuda berusia 39 tahun itu ditemui pada jarak kira-kira tiga kilometer dari tempat dia dilaporkan terjun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayat mangsa kira-kira jam 1 tengah hari.

Katanya, seramai 40 anggota terdiri daripada polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), nelayan dan penduduk kampung menyambung operasi SAR kira-kira jam 8 pagi tadi.

“Kita juga mendapat khidmat dua anjing pengesan ‘Pop dan Lady’ dari Unit Anjing Pengesan Bomba dan kita memperluaskan kawasan pencarian sekitar lima kilometer.

“Mayat mangsa sudah ditemui tersangkut di akar pokok tepi sungai terbabit,” katanya.

Beliau berkata, jenazah mangsa kemudian dibawa naik ke Jeti LKIM sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian jam 4.45 petang semalam, lelaki terbabit bertindak terjun selepas dipercayai ternampak beberapa anggota polis masuk ke kawasan kompleks terbabit.

Seorang pengusaha bot nelayan yang menyaksikan kejadian itu, berusaha menyelamatkan mangsa dengan meminta mangsa memegang buluh panjang yang dihulurkan, namun mangsa enggan sebelum dia tenggelam ke dasar sungai.

Berita Harian X