Rabu, 26 Disember 2018 | 9:05am
TIGA beranak maut selepas kereta Proton Saga dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 40 Jalan Kuantan-Johor Bahru dekat Rompin. - Foto ihsan PDRM Pahang

3 sekeluarga maut kereta bertembung bas ekspres

ROMPIN: Tiga sekeluarga maut selepas kereta Proton Saga dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di KM140 Jalan Kuantan-Johor Bahru, di sini malam tadi.

Mereka yang meninggal dunia dalam kejadian jam 11.50 malam itu ialah Rakiah Mat, 64; anaknya, Rosli Mat Daud, 38; dan cucunya, Aidil Ashraff Rizuan, 5.

Bapa kepada Aidil Ashraff yang juga pemandu kereta itu, Rizuan Mat Daud,34, cedera parah dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Rakiah dan Rosli beralamat dari Kampung Chicha, Kota Bharu, Kelantan manakala Rizuan serta Aidil Ashraff pula beralamat dari Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor, berkata dalam kejadian itu kereta Proton Saga dinaiki empat sekeluarga itu yang dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Rompin dikatakan memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan bas ekspres dinaiki 39 penumpang.

“Kereta itu kemudiannya terbabas masuk ke parit sebelah kiri bahu jalan menghala ke arah Kuantan.

“Rakiah dan Rosli meninggal dunia di tempat kejadian manakala Aidil Ashraff di wad kecemasan Hospital Rompin.

“Pemandu bas ekspres dan penumpangnya tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Azli berkata, bedah siasat akan dijalankan pagi ini sebelum jenazah diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan.

Katanya, ketika kejadian cuaca hujan mengakibatkan permukannya basah dan berlaku di jalan dua lorong dua hala serta selekoh.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

1756 dibaca
Berita Harian X