Selasa, 25 Disember 2018 | 5:17pm

NGO berkumpul untuk solat jenazah ghaib buat Muhammad Adib

KLANG: Perhimpunan Aman ‘Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moorthy’ anjuran Gerakan Masyarakat Malaysia (GERAS) yang disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di Masjid Bandar Diraja Klang di sini, hari ini.

Kesemua mereka berkumpul di masjid berkenaan bagi menunaikan solat asar serta solat jenazah ghaib sebelum berarak sambil berselawat ke Dataran Seni kira-kira jam 5 petang tadi.


Peserta perhimpunan mengaminkan bacaan doa selepas menunaikan solat Asar serta solat jenazah ghaib di Masjid Bandar Diraja Klang. - NSTP/Faiz Anuar

Pada masa sama, orang ramai dilihat berterusan tiba di perkarangan masjid bagi menunaikan solat secara berjemaah.

Selain GERAS, NGO yang turut menyertai perhimpunan aman itu adalah Gerakan Srikandi Malaysia (GSIM), Angkatan Laksamana Bukit Jati Klang (ALBJ), Badan Amal Tarbiyah Sejagat (BATAS), Pertubuhan Ikatan Muafakat Serumpun Malaysia (SERUMPUN) dan Kebajikan Sejagat Malaysia (SEJAGAT).

Difahamkan PDRM, menempatkan 600 pegawai dan anggota dari Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan Klang Selatan termasuk anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis trafik di sekitar lokasi perhimpunan berkenaan.

Kebanyakan mereka yang hadir dilihat memakai baju warna hitam sebagai tanda sokongan kepada perhimpunan itu.

Sementara itu, anggota polis dan penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) sudah berada di sekitar Dataran Seni, di sini sejak jam 3 petang lagi.

Pihak penganjur juga dilihat menggantung tiga kain rentang yang memaparkan tujuh perkara asas tuntutan perhimpunan GERAS selain gambar Muhammad Adib Mohd Kassim, dengan kata-kata ‘Kami menuntut keadilan untuk Adib’.


Peserta perhimpunan berarak ke Dataran Seni Klang ketika perhimpunan aman 'Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moorthy' anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (GERAS). - NSTP/Faiz Anuar

Peserta perhimpunan berarak ke Dataran Seni Klang ketika perhimpunan aman 'Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moorthy' anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (GERAS). - NSTP/Faiz Anuar

Selain itu, terdapat juga kain rentang memaparkan gambar Menteri Perpaduan, P Waytha Moorthy, bertulis ‘Kami Cintakan Kedamaian, Keamanan, Perpaduan, tetapi kami tuntut dan desak Menteri Perpaduan Letak Jawatan’.

Penganjur turut memainkan lagu Jalur Gemilang, Warisan dan Salam Terakhir sementara menantikan rombongan perhimpunan selesai menunaikan solat jenazah ghaib dan juga solat asar berjemaah di di Masjid Bandar Diraja Klang yang terletak kira-kira 400 meter dari dataran berkenaan.

Tinjauan NSTP pula mendapati puluhan premis perniagaan di sekitar Dataran Seni dan Jalan Taiping masih beroperasi seperti biasa dan turut dikawal ratusan anggota polis bertugas.

Beberapa laluan utama di sekitar kawasan itu turut ditutup untuk kenderaan umum, namun keadaan lalu lintas masih berjalan lancar setakat ini.

Pada 17 Disember lalu, Muhammad Adib, 24, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, disahkan meninggal dunia di Institusi Jantung Negara (IJN).

Muhammad Adib disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam akibat mengalami kecederaan serius selepas diserang dan dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Peserta perhimpunan berkumpul di hadapan Masjid Bandar Diraja Klang ketika perhimpunan aman 'Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moorthy' anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (GERAS). - NSTP/Faiz Anuar
Berita Harian X