Selasa, 25 Disember 2018 | 3:29pm

Mayat dengan kesan tikaman ditemui dalam longkang

BUTTERWORTH: Mayat seorang lelaki dengan kesan tiga tikaman di perut dan kelar di leher ditemui dalam longkang di Jalan Bunga Raya Merah 1, Mak Mandin, di sini hari ini.

Mayat Ong Mok Hoe, 48, ditemui dalam keadaan terlentang oleh orang ramai dalam longkang terbabit pada kira-kira jam 10 pagi sebelum mereka menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata siasatan awal mendapati mangsa dilihat ahli keluarga keluar rumah di Taman Kenanga, dekat sini jam 3 pagi tadi.

Katanya, hasil keterangan daripada ahli keluarga, mangsa yang bekerja sambilan di Pasar Apollo, di sini keluar rumah untuk ke tempat kerjanya.

“Mangsa masih bujang dan pemeriksaan mendapati dia mempunyai rekod penyakit sawan. Siasatan di lokasi kejadian mendapati dompet mangsa serta wang ada bersamanya dan kita masih belum mengetahui motif kejadian,” katanya yang ditemui di lokasi.

Noorzainy berkata, polis juga belum menemui sebarang senjata di lokasi dan meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu tampil memberi maklumat.

“Mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ong Mok Hoe. - Ihsan PDRM
Anggota polis mengangkat mayat Ong Mok Hoe yang maut dengan kesan tiga tikaman di perut dan kelar di leher ditemui dalam longkang di Jalan Bunga Raya Merah 1, Mak Mandin, di Butterworth. - Ihsan PDRM
Berita Harian X