Isnin, 24 Disember 2018 | 12:14pm

Lelaki ugut bunuh ibu ditahan

KULIM: Tindakan seorang lelaki mengugut ingin membunuh ibunya minggu lalu mengundang padah apabila dia ditahan polis di Padang Serai, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian 3 petang 14 Disember lalu, suspek yang dipercayai penagih dadah turut mengacukan pisau kepada ibunya yang berusia 54 tahun.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ahmad Nasir Jaafar, berkata kejadian di rumah mereka di Padang Serai itu bermula dengan pertengkaran mulut antara suspek dan adik perempuannya yang berusia 25 tahun.

“Suspek kemudian mengamuk dan bertindak agresif dengan mengacukan pisau pada dada ibunya sambil berkata ‘aku bunuh’ kerana berang selepas ibunya cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.

“Suspek bagaimanapun menyimpan semula pisau berkenaan. Tindakan suspek mengundang kebimbangan pada mangsa yang kemudian membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, suspek yang menghilangkan diri beberapa hari akhirnya diberkas tengah malam tadi selepas pulang ke rumahnya.

“Siasatan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

“Setakat ini suspek tidak mengaku melakukan jenayah terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X